Jul 2, 2011

VIJAY ESWARAN DALAM FORBES

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia – Datuk Vijay Eswaran dari Kumpulan Syarikat QI, Tan Sri Vincent Tan dari Berjaya Corporation Bhd, Pengasas IJM Corp Koon Yew Yin dan arkitek terkemuka Hijjas Kasturi dan isteri, Angela Hijjas – adalah antara 48 orang yang dinamakan sebagai ‘Wira Dermawan’ Forbes Asia.

Senarai itu disusun oleh Forbes setiap tahun dengan tujuan memperkenalkan tokoh terkemuka di rantau ini.
Vijay, Pengerusi Eksekutif dan Pengasas Bersama Kumpulan QI, terpilih kerana sumbangan meluas bernilai jutaan dolar bagi pelbagai tujuan di seluruh dunia termasuk inisiatif program kesihatan awam, pendidikan dan kebudayaan.
Beliau mengendalikan syarikatnya berasaskan falsafah RYTHM, singkatan bagi ‘Raise Yourself to Help Mankind’ (Memajukan Diri Anda Bagi Membantu Kemanusiaan) yang diterapkannya di kalangan warga kerja perniagaannya di seluruh dunia.

Kepelbagaian urus niaga kumpulan syarikatnya termasuk peruncitan, pengembaraan, telekomunikasi, jam tangan, produk mewah, kecergasan, latihan, teknologi dan pelaburan korporat.

Februari lalu, seorang lagi rakyat Malaysia yang berada dalam senarai Forbes Asia, Vincent Tan, berikrar untuk menderma sekurang-kurangnya separuh daripada kekayaannya untuk kerja amal.

Ini berikutan keputusannya untuk menyertai ‘The Giving Pledge’ yang diilhamkan oleh Bill Gates, isterinya Melinda dan Warren Buffett.
Arkitek terkemuka Hijjas Kasturi, 74, dan Angela Hijjas, 61, menaja dan menjadi hos lebih 100 artis, penulis dan penggiat seni sejak memulakan program residen pada 1994 di rumah tradisional Melayu mereka di satu taman tropika di luar Kuala Lumpur.

Program itu dibiayai sebahagiannya oleh keuntungan dari satu hotel butik di Georgetown, Pulau Pinang, yang mereka tukar dari satu kluster rumah kedai sebelum perang. Pemuliharaan itu membantu menghidupkan kawasan tinggalan dan menjadi satu studio untuk artis. Koon, 78, Pengasas Bersama IJM Corp, menderma kira-kira US$300,000 (RM900,000) setahun untuk pelbagai tujuan. Beliau juga membiayai biasiswa pelajar yang memerlukan dan menaja 80 pelajar Universiti Tunku Abdul Rahman.

Beliau sebelum ini berkata mempelajari nilai pendidikan bagi keluar dari kemiskinan selepas membesar dalam keluarga seramai 12 adik beradik. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Komen dan pertanyaan anda sangat dialu-alukan.
Komen yang berunsur fitnah, menghina, tidak membina, lucah dan keterlaluan akan didelete. Hanya registered users termasuk open ID sahaja dibenarkan komen. Anonymous tidak lagi kerana ada di antaranya yg tidak bertanggungjawab dgn memberi komen yg mengutuk tapi tak berani perkenalkan diri. Kami tidak menjalankan urusan dengan berselindung.
Nama, emel, no telefon, no akaun bank, gambar dan FB saya adalah benar.